3 Kemerdekaan Yang Dihajati Pelajar Pascasiswazah

Banyak perkara yang sebenarnya menyekat dan membelenggu pelajar pascasiswazah. Masalah ini membawa kepada lebih banyak perkara yang merunsingkan termasuklah tidak tamat pengajian, ketiadaan kerja selepas habis pengajian, dan macam-macam lagi. 

Ini antara kebebasan yang selama ini dihajati oleh pelajar pascasiswazah namun tidak ramai yang menyuarakannya.

1. Kemerdekaan untuk menjalankan pengajian dan penyelidikan tanpa bebanan yuran pengajian yang terlalu mahal. Walaupun banyak tajaan dan dalam dan luar negara, bilangannya masih terhad dan tidak ramai pelajar pascasiswazah dapat menikmatinya. Malah ada tajaan yang sebelum ini seperti tidak putus-putus disalurkan, terpaksa dihentikan atas sebab ekonomi yang tidak menentu.

2. Kebebasan untuk menjalankan penyelidikan tanpa disekat oleh ketetapan jadual kerja 9-5. Contohnya penyelidikan makmal yang memerlukan tempoh inkubasi yang panjang dan berakhir di luar jam bekerja, ia akan menyukarkan kerja penyelidikan pelajar pascasiswazah. Alangkah indahnya jika laluan masuk ke makmal diberikan akses 24 jam agar segera dan mudah penyelidikan dijalankan.

3. Kebebasan untuk meluahkan pendapat dan berbeza pandangan dengan penyelia. Sesetengah pelajar pascasiswazah diuji dengan sikap penyelia yang mengongkong pelajarnya. Pelbagai perkara tidak dibenarkan tanpa kerelaan hati pelajarnya seperti tidak dibenarkan berkahwin, bekerja sambilan, dan menerbitkan hasil penyelidikan di jurnal pilihan sendiri.

Walau apapun kemerdekaan yang dituntut dan diingini oleh pelajar pascasiswazah, ia perlulah disempadani dengan undang-undang dan peraturan. 

Apakah perkara yang membelenggu anda sebagai pelajar pascasiswazah dan anda mahu merdeka daripadanya?