Bekas Penuntut PhD di Singapura Ini Berkongsi Kisah Pahit Jerih Beliau

Sekadar berkongsi kisah PhD saya.

Sejak muncul isu MyBrain ditangguhkan, saya baca ramai kawan-kawan di Malaysia mula risau akan hal kewangan untuk melanjutkan dan meneruskan pengajian Master dan PhD.

Saya faham rasa risau tu bagaimana. Sebelum ini, saya pernah bangkitkan isu kewangan yang sama di DSG, di mana saya pelajar yang sedang melanjutkan pengajian PhD di luar negara di bawah biasiswa SLAI tidak dapat menyambung biasiswa untuk tahun ke-4 pengajian. Ketika itu, tiba-tiba tiada penyambungan biasiswa selepas Tahun ke-3 pengajian. Saya sangat terkesan dengan isu ini kerana pengajian PhD saya adalah mix-mode dan 4 tahun (lebih kurang macam USA. Bezanya USA ada sekurang-kurangnya 12 subjek wajib daripada dept, saya pula ada sekurang-kurangnya 6). Ramai juga kawan-kawan lain yang melanjutkan pengajian di luar negara yang terkesan dengan masalah kewangan ini.

Saya hampir-hampir berputus asa.

Tapi…

Itulah.. Bab rezeki ni, susah nak jangka. Perjalanan PhD saya di tahun terakhir pengajian itu agak menarik. Dengan kerja part time sebagai pembantu penyelidik dan ulang alik antara JB dan Singapura dengan menaiki bas awam untuk simpan duit dan kurangkan perbelanjaan harian, akhirnya saya berjaya membayar yuran pengajian sendiri untuk semester ke-7 yang berjumlah hampir RM40,000.

Untuk Sem ke-8, duit simpanan sendiri dah tak ada. Gaji yang terkumpul dari kerja pembantu penyelidik tak mencukupi. Hampir semua dah digunakan untuk bayar sem ke-7. Saya terpaksa pinjam duit parents sikit, duit tabung Haji anak, dan minta tolong suami buat personal loan sebanyak RM30,000. Akhirnya berjaya juga bayar yuran pengajian penuh untuk sem ke-8.

Syarat nak hantar thesis mestilah bayar yuran pengajian penuh dahulu.

Tapi, saya masih gigih untuk cuba dapatkan diskaun 50%. Dua bulan pertama semester ke-8 tu memang pulun habis. Siap objektif ke-4. Terus bersengkang mata siapkan thesis. Alhamdulillah, dari segi penulisan, saya tiada masalah yang besar. Akhirnya saya berjaya hantar thesis untuk semakan sebelum cuti pertengahan sem-8 dan dapat diskaun 50%. Pihak universiti “refund” semula 50% daripada yuran pengajian tu selepas 3 bulan saya hantar thesis. Dapatlah saya bayar semula separuh daripada hutang-hutang saya.

Dipendekkan cerita, selepas saya hantar thesis, tiba-tiba saya dapat surat daripada KPM. Akhirnya permohonan lanjutan biasiswa saya yang gagal untuk sem ke-7 sebelum ni, diluluskan. “Backdated money was received in May 2018 and I used them all to settle my husband’s personal loan and the money I borrowed from my family.” Tidak lama selepas tu, saya lulus viva voce dengan sedikit pembetulan pada 1 Jun 2018, selesai pembetulan dan sempat “upload final thesis” dalam sistem dan dapat sertai majlis graduasi untuk kelas 2018. Akhirnya, semua hal penting dan hutang saya berkaitan PhD selesai dalam tempoh kurang 5 bulan daripada tarikh saya hantar thesis. Sangat cepat.

Apa yang saya nak sampaikan:

1. Duit itu penting untuk sambung belajar diperingkat tinggi, tapi ia bukan sebab yang utama untuk kita berputus asa.
2. Pastikan kita memang niat belajar kerana Allah swt. Sambil berusaha sungguh-sungguh tu, kita juga kena banyak berdoa kepada Allah swt, kerana Dia yang memberikan rezeki. InsyaAllah akan ada jalan untuk selesaikan masalah kewangan ni. Allah swt akan bantu. Kadang kala dengan cara yang kita tak sangka.
3. Sebenarnya dugaan dalam menuntut ilmu ini boleh buat kita jadi seseorang yang kita tak sangka. Bermalam di ofis, mandi di masjid, tumpang tidur di masjid, penat ulang-alik, tidur dalam bas yang macam tin sardin, sampai rumah lewat malam, menangis dalam bas dan train, semua tu saya dah rasa apabila saya tiada tempat tinggal di Singapura.
4. Walaupun kita ada masalah kewangan, jangan kita risau untuk bersedekah. Allah swt akan balas 10 kali ganda.
5. Dapatkan bantuan daripada SV dan pihak universiti. Alhamdulillah, SV dan co-SV saya sangat baik dan sangat memahami. Mereka banyak bantu saya. Terutamanya SV yang flexible dengan waktu saya bekerja kerana tahu kepayahan saya ulang-alik dan tawarkan saya kerja sampingan sebagai pembantu penyelidik, grader dan lab demonstrator.

Saya doakan semoga kawan-kawan yang sedang buat PhD tiada masalah kewangan dan jika ada, moga dapat diselesaikan dengan baik, InsyaAllah. 🙂

Dr. Ricca Rahman Nasaruddin